13 Januari 2026 Kuala Lumpur
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong penuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi memastikan kepimpinan gabungan itu lebih jelas, berwibawa dan tidak bertindih kuasa.
Presidennya, Syed Hasan Syed Ali berkata, pandangan yang menyatakan Pengerusi PN mesti dalam kalangan presiden parti-parti komponen PN adalah tidak konsisten memandangkan sebelum ini Ketua Pembangkang yang bukan presiden parti dalam PN juga pernah diterima oleh banyak pihak.
Menurut beliau, sekiranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepaskan jawatan Pengerusi PN atas sebab tertentu, pimpinan tertinggi di bawah presiden wajar dicalonkan untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Jika pencalonan itu mendapat sokongan semua parti komponen, ia bukan sahaja baik untuk PN malah menguntungkan Bersatu sendiri. Tidak wajar ada usaha menghalang jika benar-benar sayangkan parti dan gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Hasan berkata, Perkasa percaya Pas serta parti-parti lain dalam PN tidak mempunyai masalah untuk menyokong Hamzah sebagai Pengerusi PN yang baharu memandangkan kewibawaannya telah terbukti.
Beliau menjelaskan, kepimpinan Hamzah terserlah ketika memegang jawatan Ketua Pembangkang yang berjaya memimpin semua Ahli Parlimen PN termasuk presiden-presiden parti dalam gabungan itu.
“Mengikut pandangan Perkasa dan saya percaya juga NGO-NGO Melayu lain, adalah amat sesuai Ketua Pembangkang merangkap Pengerusi PN supaya tidak berlaku pertindihan kuasa dan kekeliruan dalam kepimpinan,” ujarnya.
Tambah beliau, sebelum ini, masyarakat khususnya pengundi atas pagar dilihat keliru untuk mengenal pasti siapa sebenarnya mengetuai blok pembangkang.
“Dengan Ketua Pembangkang juga sebagai Pengerusi PN, ia akan memudahkan NGO-NGO Islam dan Melayu yang menyokong PN untuk bekerjasama secara lebih tersusun dalam usaha menumbangkan kerajaan yang diterajui DAP,” katanya lagi. – Credit to MalaysiaGazette
