KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menolak cadangan penubuhan “Kolaborasi Agung” bagi penyatuan orang Melayu sekiranya mana-mana parti politik yang terlibat masih bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Madani, tegas Presidennya, Syed Hassan Syed Ali.
Menurut beliau, cadangan yang diumumkan oleh Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan baru-baru ini itu tidak boleh diterima selagi kerjasama dengan DAP diteruskan, memandangkan parti tersebut masih menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.
Syed Hassan berkata, walaupun Perkasa mengakui hasrat penyatuan Melayu merentas parti dan kumpulan dibuat demi kepentingan masa depan agama, bangsa dan tanah air (A Ba Ta), namun kepercayaan terhadap cadangan itu terjejas kerana ia datang daripada kepimpinan parti yang sebelum ini pernah berikrar “No DAP, No Anwar”, namun akhirnya bertindak sebaliknya.
“Kenyataan dan tindakan itu telah mengecewakan majoriti orang Melayu yang kini terpaksa berada di bawah sebuah kerajaan yang dikuasai DAP. Perkasa dan saya percaya banyak NGO Melayu lain masih belum boleh melupakan perkara ini dan merasakan telah ditipu serta dikhianati,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Perkasa tidak akan menyertai sebarang bentuk kolaborasi atau gabungan yang melibatkan parti-parti politik yang mempunyai hubungan atau kerjasama dengan DAP.
“Mana-mana parti politik yang bekerjasama dengan DAP, Perkasa akan tolak dan tidak akan bersama,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Hassan menjelaskan, Perkasa bersedia menyokong idea penyatuan tersebut sekiranya ia benar-benar melibatkan pelbagai kumpulan Melayu termasuk parti politik, NGO dan kelompok masyarakat Melayu yang ikhlas mahu bersatu tanpa pengaruh DAP.
Pada masa sama beliau menegaskan, orang Melayu sudah tidak mampu lagi untuk terus berpecah dan mengalu-alukan sebarang usaha ke arah penyatuan, namun mencadangkan agar tidak diwujudkan gabungan baharu.
“Tidak perlu buat gabungan baru. Bersatulah sahaja di bawah Payung Besar Melayu yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Tambah beliau, dalam berhadapan dengan Ketua Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat berpengalaman, berani dan mampu menjadi pemimpin penyatuan orang Melayu ketika ini.
“Selagi negarawan itu sihat dan bertenaga, jangan tinggalkan beliau. Rugi jika tidak dimanfaatkan,” katanya. – Credit to MalaysiaGazette
